Sunday 19 October 2008

UMNO HANYA MENANTI PAKU TERAKHIR


Ahmad Lutfi Othman Sun Oct 19, 08 4:13:19 pm MYT

SEMAKIN dekat Najib Razak dengan takhta dan teraju kuasa, makin banyak pula dakwaan negatif yang dihalakan kepadanya. Tidak cukup dengan tanggapan rasuah tentang pesawat perang, kapal selam kini pembelian helikopter pula.

Memang segala tuduhan itu belum dapat dibuktikan, namun Najib yang sejak lama sukar dilihat bersih terpaksa bersilat menangkis segala tohmahan itu.

Sudah beberapa kali beliau menyanggah, terutama atas kapasiti Menteri Pertahanan, malah bersumpah di masjid pun Najib sanggup, malangnya, tidak ramai yang bersedia untuk menerima penjelasan beliau, malah sebahagian mencurigainya.

"Retak di permulaan jalan". Hubungan Abdullah Badawi dengan Najib bukan "retak di tengah jalan", seperti hubungan Mahathir dengan Musa Hitam ataupun Anwar Ibrahim. Jika Musa dan Anwar dianggap pasangan serasi bersama Mahathir di awal perlantikan mereka sebagai timbalan perdana menteri, semua tahu Najib sejak awal mula bukan pilihan Abdullah.

Najib terpaksa dipilih kerana Dr Mahathir Mohamad memberi tekanan kuat kepada Abdullah. Dalam bahasa Mohamad Sabu, Abdullah seolah-olah "kahwin paksa" dengan Najib. Muhyiddin Yasin yang dianggap regu sesuai Abdullah ketika itu, tiba-tiba kini menjadi hujung tombak kumpulan yang menentangnya.

Johor yang sepatutnya kuat membela Abdullah (di sana ada Musa Hitam, Shahrir A Samad) bertukar menjadi pendesak utama untuknya melepaskan jawatan dalam kadar segera. Itulah yang paling menghibakan Abdullah. Mahathir pula mengingatkan Najib bahawa dalam Umno sendiri ramai yang sedia menjatuhkannya.

Mitos lama berakhir. Dan ini bukan perkara pelik. Selama ini - sebelum pilihan raya 2008 - yang berpotensi menjatuhkan pemimpin Umno adalah orang Umno juga, pembangkang hanya berkuku di Kelantan dan sesetengah kawasan di Kedah dan Terengganu.

Debar pemilihan Umno lebih kencang geloranya berbanding pilihan raya umum. Merebut menjadi calon pilihan raya mewakili Umno-BN adalah cabaran sengit yang mesti dilalui terlebih dahulu. Ramai yang tersungkur dalam pemilihan bahagian disebabkan cantas-mencantas, politik wang atau kerana terlalu baik untuk Umno!

Walaupun kalah agak teruk dalam pilihan raya 2008, dan hilang teraju kuasa di Kedah, Perak dan Selangor, keghairahan untuk merebut jawatan tidak pernah padam. Buktinya, ada mesyuarat bahagian Umno terpaksa dikawal oleh anggota FRU, dan ini berlaku di Kelantan, negeri yang mana peluang parti itu untuk kembali berkuasa begitu tipis.

Namun begitu, Umno seolah-olah masih dilihat lubuk emas yang menjanjikan kemilau peluang membina kekayaan dan anak tangga mendaki kerjaya politik lebih tinggi. Namun, tanggapan itu kini umpama fatamorgana.

Umno adalah milik masa lalu, bukan aset masa depan. Nostalgianya mungkin sarat dan ia sendat pula dengan kenangan manis. Tetapi, berdepan realiti dan cabaran mendatang, Umno kelihatan tiada tempat.

Imiginasi anak muda tak tersentuh, harapan orang tua tak tersampai. Korupsi membusung. Fikir penggiatnya, sementara ada habuan duniawi yang berbaki lebih baik cepat-cepat direnggut. Hilang segala idealisme, pupus segala cita-cita luhur. Malah, tanpa negeri seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang, pengikat sokongan mudah terlerai.

Usaha dekati pengundi Melayu. Bagaimanapun, dari segi kerusi di Parlimen, Umno memang nampak di hadapan, masih meninggalkan penguasaan PAS dan KeADILan, terutama dalam konteks mewakili kawasan Melayu. Gabungan wakil Melayu PAS-KeADILan belum dapat menyaingi Umno, ya ... tidak sampai separuh pun jumlahnya.

Kalau pada 1999 Umno diselamatkan oleh sokongan bukan Melayu, kini sokongan Melayu turut kritikal. Setiap minggu penghijrahan ahli-ahli Umno ke dalam Pakatan Rakyat melimpah ruah.
Terbaru kes di Kampung Baru Plentong Tengah, Masai, Johor. Lebih 200 ahli Umno menyertai PAS dengan menyerahkan borang sendiri kepada Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Rakyat sudah merasai "nikmat perbezaan" selepas ratib tahyul "hanya Umno dapat memerintah negara ini" dimusnahkan. Terdedah bagaimana rasuah, salahguna kuasa dan nepotisme menjalar dalam setiap urat nadi dan denyut jantung pemerintahan Umno-BN dahulu.

Dan Pakatan Rakyat seharusnya mampu menawarkan jalan keluar, mengangkat golongan terpinggir, membela masyarakat bawahan, menunaikan amanah dan janji, berkhidmat demi rakyat, selain pemimpinnya terus mengekalkan kesederhanaan.

Saya kerap menekankan agar PAS khususnya, lekas-lekas mengisi posisi Umno, terutama dalam konteks psikologi politik orang Melayu, memperteguhkan akar sokongan, manakala wakil-wakil rakyatnya menyumbang yang terbaik. Misalnya di Selangor dan Perak, tidak boleh dibiarkan Umno menguasai terus kerusi-kerusi di kawasan majoriti Melayu.

Tiada jalan mudah. Berbanding KeADILan sebagai parti berbilang kaum, PAS perlu merobohkan tonggak kekuatan Umno yang selama ini terbina dengan kepalsuan dan ilusi. Pastinya tiada jalan mudah kerana BN masih menguasai sumber Persekutuan tetapi sekiranya rakyat dapat melihat perbezaan jelas antara PAS dan Umno di negeri-negeri Pakatan, masyarakat Melayu semastinya mahukan pemimpin yang jujur dan boleh dipercayai untuk menjaga negara tumpah darah mereka.

Najib boleh saja memasang impian menjadi Presiden Umno, seterusnya Perdana Menteri, menjelang Mac 2009. Najib mungkin ada strategi atau pendekatan ajaib bagi memulihkan imej Umno-BN yang tercemar teruk itu.

Zaman beredar, musim berlalu, jika Pakatan menunjukkan teladan terbaik dan itulah yang nampak serius diusahakan sekarang, lambat atau cepat, Umno-BN hanya menanti ketukan paku terakhir di kerandanya.

3 comments:

daud said...

Saya dengan rendah hati ingin berkongsi pendapat di atas tajuk yang ditulis tuan :-

Tuan menyatakan UMNO membilang hari sahaja untuk musnah, seterusnya PASlah yang akan mentadbir bersama pakatannya di negara ini. Ini tidak benar ramalanya kerana sudah lebih 7 bulan selepas UMNO kalah banyak kawasan tetapi masih belum hancur lagi.

Sejak kehilangan banyak kerusi pada pilihanraya lalu,UMNO telah menjalani sebahagian proses pemulihan yang diterajui oleh TUN M semasa beliau dari dalam UMNO dan diluar UMNO.

INI dapat dilihat dengan banyak veteran UMNO telah mengkritik punca kekalahan UMNO iaitu Pak Lah.Antara mereka ialah Ku Li, Sanusi Junid, Ibrahim Ali, Datuk Aziz Tapa.

Kritikan ini telah menyedarkan majoriti ahli UMNO sehingga mereka berjaya mengeluarkan Pak Lah. Ini dapat dibuktikan melaui kegagalan Pak Lah meraih cukup pencalunan untuk melayakkan beliau mempertahankan kerusi presiden UMNO.

Nyatalah UMNO sedang dalam proses pemulihan bagi memulihkan keadaanya yang sangat kritikal dan nazak.

Selepas pemergian Pak Lah nanti dapatlah parti ini menjadi demokarasi kembali dan mendengar semua pandangan ahlinya, dan mewakili sebenar-benarnya suara ahlinya.

Ini akan mengembalikan semula sokongan melayu kepada UMNO seterusnya memberi kuasa majoriti untuk memimpin. Parti komponen pun akan serta merta pulih kembali kerana kekuatan parti utama telah pulih.

kepada parti Keadilan Anwar, bagaimana harapan mereka hendak ambil alih kerajaan setelah berjanji bohong pada 16 sept. Pastinya parti ini hilang kredibiliti.

Kepada pas saya nampak pilih salah rakan, seperti DAP yang mana mati-matian menolak negara Islam dan mahu Cina mendapat sama hak dengan Melayu Islam. Bolehkah penyokong Pas meneriama ideologi Dap ini? dan bolehkan Dap menerima ideologi Pas ini?

Gabungan Pas Dap dan Keadilan adalah rapuh sangat. Mereka semua akan tumbang pada pilihan raya akan datang. Ini kerana gabungan mereka tidak mempunyai asas pertubuhan yang sama, seperti kesamaaan ideologi antara parti.

Apa jua yang kita kata, Barisan Nasional telah mentadbir negara ini selama 51 tahun, dan berapa tahun pulakkah Pas dah mentadbir negara ini?

daud said...
This comment has been removed by the author.
donmny said...
This comment has been removed by the author.