Monday 26 January 2009

MASALAH UMNO BUKAN DISEBABKAN PEMIMPINNYA

Umno dan kepemimpinannya. Siapa dalangnya yang menyebabkan parti berusia lebih 50 tahun itu makin mereput. Pandangan bahawa ianya makin mereput tidak boleh dipandang sepi. Faktor pengukuhnya dilihat dalam pilihanraya Kuala Trengganu lalu. Analisa menunjukkan sokongan golongan muda sangat kurang terhadap umno. Tanpa golongan muda yang merupakan kelangsungan masa depan makanya proses pereputan tentunya bakal menjadi kenyataan tanpa ragu ragu lagi.
Ramai mengatakan masalah umno adalah disebabkan pemimpinnya. Untuk menyelesaikan masalah tersebut maka cantaslah pemimpin yang dilihat bermasalah itu. Maka masalah umno pun selesai. Saya kurang gemar atas pendapat sebegitu.
Memang betul masalah umno adalah dimenifestasikan dari kepemimpinan pemimpinnya. Itu merupakan satu proses yang dilalui oleh semua parti dan bukannya umno sahaja. Parti parti lain pun akan diihat dan dinilai rakyat melalui kepemimpinan pemimpinnya. Tetapi kenapa hasilnya berbeza.
Pada saya masalah umno adalah disebabkan SISTEM yang diamalkan yang telah mendarah daging dalam umno dari dahulu lagi. SISTEM yang dimaksudkan adalah sistem yang membolehkan seseorang ahli umno tersebut mendaki hieraki kepimpinannya sehinggalah ketahap tertinggi.
Pemimpin yang ada hari ini bakal melalui proses yang sama kecualilah seorang dua golongan bangsawannya yang telah dibidan terjunkan.
Kita bayangkan proses mendaki dalam umno ini ibarat naik tangga. Mereka yang ada diatas akan pijak tangga yang paling bawah dulu untuk mendakinya.......Disinilah dilihat punca yang BESAR dan UTAMA kepada masalah umno hari ini.
Pada tahap untuk mendaki tangga pertama ini dilihat umno telah membuat kesilapan yang cukup besar, KENAPA;
1. Cerdik pandai melayu dihalang aktif dalam kepemimpinannya. Boleh dikatakan melayu paling bijak lulusan universiti akan menyertai kerajaan. Tetapi melayu yang paling cerdik ini dihalang aktif dalam kepemimpinan umno. Sepatutnya insentif dan galakan yang cukup kuat di beri supaya mereka aktif.
2. Kakitangan kerajaan yang ingin aktif dalam politik kena letak jawatan. Polisi yang mewajibkan mereka menterbalikkan periuk nasi sendiri demi berkhidmat kepada umno. Bayang anda ditempatnya, apa pilihan anda.
3. Mereka yang pandai bercakap tetapi kurang cerdik lebih dipentingkan daripada mereka yang agak kurang pandai bercakap tetapi bijak. Sepatutnya faktor pendidikan dan kelulusan dipentingkan.
4. Agihan projek melalui jawatankuasa kampung. Polisi ini menjadikan politik di kampung kampung sangat meruncing. Persaingan menjadi perkara biasa demi mengejar jawatan yang akhirnya diberi projek ini. Jaguh jaguh kampung yang tidak bekerja akan bertungkus lumus mengejar jawatan ini dengan apa cara sekalipun. Bayangkan mereka inilah yang akan menjadi pemimpin besar nanti.
5. Usaha mendekatkan golongan muda kedalam umno yang tidak dilakukan dengan teliti. Faktor sokongan golongan muda yang lemah kerana tiadanya faktor 'ummph...'. Fikirkan, jangan meyalahkan golongan muda yang sifatnya memberontak dan mahukan kesegaran yang baru.
6. Dan lain lain lagi. Masalahnya harus dilihat dan dihalusi pada peringkat asas ini.
Pemimpin umno yang ada hari ini adalah hasil daripada SISTEM ini. Dilihat masalah kepemimpinan bukan sahaja diperingkat tertinggi tetapi disemua peringkat termasuk bahagian, cawangan, kampung dan sebagainya. Selamilah dengan jujur, tanpanya jangan cuba menafikan yang umno itu sedang mereput menjadi sejarah.

Saturday 24 January 2009

APA YANG TIDAK KENA DENGAN ORANG MELAYU


Entahlah........tak tau apa yang hendak dikatakan dengan orang melayu Malaysia. Mutakhir ini apa yang dilakukan serba tak kena rasanya.

Sebagai melayu yang memimpin mereka tentunya tersepit antara usaha mengekalkan pengaruh dan juga nasib melayu yang harus diperjuangkan. Tidak kiralah dipihak UMNO atupun PKR, dipihak PAS nampaknya kurang ketara masalah ini buat masa ini. Yang mengecewakan adalah usaha pengekalan pengaruh dan takut dengan bayang bayang kehilangan kuasa lebih diutamakan dan akhirnya perjuangan nasib melayu tidak lagi menjadi dominen.

Entahlah.....sampai bila situasi ini akan berterusan. Nampaknya tidak nampak lagi bayang bayang persoalan ini bakal selesai.

Rasanya apa yang berlaku hari ini adalah disebabkan persoalan budaya orang melayu itu sendiri yang merangkumi segala hal, segala hal tidak terkecuali satu pun. Tanpa adanya lonjakan pemikiran yang bersungguh sungguh untuk mengenalpasti mekanisma penyelesaiannya, maka persoalan yang ada hari ini tidak akan selesai.

Entahlah......dah letih rasanya bercakap tentang persoalan dan cerita yang sama tidak habis habis. Rakyat khususnya orang melayu dilihat terumbang ambing tanpa dorongan dan bimbingan. Mereka yang berdaya tahan dan berinisiatif untuk maju mungkin tidak ada masalah, tetapi bagi orang melayu yang tidak tahu arah hujungnya perjuangan hidup akan menjadi mangsa kepada kepimpinan yang lemah dan longlai....entahlah.

Kita sebagai orang melayu yang sedar dan harus menyedarkan diri sendiri supaya jangan mengalah dengan keadaan. Berusahalah dengan apa sahaja sekalipun suapaya kita boleh berdikari dan bergerak kedepan. Mungkin inilah hikmah segala yang telah diaturkanNya.