Saturday, 11 October 2008

KRISIS HARGA GETAH DIJANGKA CETUS 'KRISIS SOSIAL' DI KALANGAN PEKEBUN

Basiron Abdul Wahab Sat Oct 11, 08 11:04:35 am MYT BANDAR JENGKA, 11 Okt (Hrkh).

Aktivis peneroka, Aris Fizul Ismail menjangkakan krisis harga getah akan mencetuskan 'krisis sosial' di kalangan pekebun kecil khususnya peneroka Felda yang bergantung kepada hasil komoditi itu.

Beliau yang juga aktivis Persatuan Anak Peneroka Se-Malaysia (Anak), menyifatkan krisis harga getah kali adalah yang paling buruk dalam sejarah. Katanya sejak lima tahun lalu harga getah dianggap stabil dan memberi kemewahan kepada masyarakat peneroka tetapi dengan kejatuhan mendadak tanpa dijangka akan memberi kesan sebaliknya.

Katanya, peneroka yang tidak menguasai teknologi maklumat tidak mengetahui harga bahan itu sedang mengalami penurunan, dan mereka yang tidak sempat menjual getah sebelum hari raya mengalami kerugian besar apabila menjualnya selepas berhari raya pada harga yang lebih rendah. "Mereka terkejut kerana tidak menjangka sama sekali harga komoditi itu jatuh begitu cepat menyebabkan mereka mengalami kerugian besar," ujarnya.

Sementara itu seorang peniaga getah, Roslan Mohamad 40, mendakwa beliau turut mengalami kerugian akibat kejatuhan mendadak komoditi itu di pasaran. Ini kerana, sebelum hari raya beliau membeli getah dengan harga melebihi RM4.00 sekilogram, bagaimanapun harga menjunam kepada RM3.65 selepas hari raya menyebabkan beliau mengalami kerugian besar. Roslan berkata, sepanjang melibatkan diri di dalam perniagaan getah, inilah kali pertama krisis harga seperti ini berlaku. "Jika begini nampaknya peniaga dan mereka yang mencari rezeki melalui komoditi ini akan menghadapi laluan sukar," ujarnya.

Sementara itu semakan di Laman Web Risda mendapati harga getah memang turun mendadak. Harga komoditi itu pada 24 September ialah RM4.20 manakala pada 30 September harganya jatuh kepada RM3.97. Pada 3 Oktober pula harga getah menjunam lagi kepada RM 3.91 dan pada 6 Oktober jatuh lagi kepada RM3.63 dan pada 10 Oktober getah jatuh kepada RM2.91 sekilogram.

Adalah dijangka harga komoditi tu akan bertambah jatuh pada hari-hari mendatang. Ini disebabkan krisis kewangan yang melanda Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah - Amerika adalah kuasa ekonomi dunia.

Masalah yang melanda negara-negara terbabit menyebabkan permintaan terhadap komoditi itu berkurangan, mengakibatkan kejatuhan harga. Aris berkata, selain getah, kelapa sawit juga mengalami masalah sama yang pastinya akan memberi kesan besar kepada peneroka yang bergantung kepada kedua-dua komoditi itu. - mns_

2 comments:

Muhammad Azli Shukri said...

hal ini jauh lebih perit daripada memikirkan masalah politik...

Demang Lebar Daun said...

memang ramai yg tak begitu sedar masalah ekonomi kerana terlalu ghairah berpolitik.

Saya percaya bahawa masalah ini tidak mampu diselesaikan melalui pemikiran orang politik malah semua pihak perlu ketepikan sebentar perbezaan politik bagi mencari jalan menghadapi kemelut ekonomi yg sedang melanda negara.