BahaZain.Thursday,6November2008
Tadi siang saya diundang menghadiri wacana, " DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN DALAM SUASANA LIBERAL KEBUDAYAAN MASA KINI". Ini adalah kali kedua saya menghadiri pertemuan tentang topik yang pada dasarnya sama.
Pada mulanya saya agak enggan menghadirinya kerana jauh dari rumah ke Shah Alam, tetapi membayangkan mungkin ada fikiran-fikiran yang berharga dilontarkan untuk saya hadham saya gagahi juga. Selama dua jam itu saya tekun mendengar dan malah dijolok untuk berbicara saya enggan kerana saya bertujuan menyelami perasaan dan fikiran hadirin tentang isu budaya ini.
Rata-rata yang hadir adalah tokoh penulis negeri dan ada juga ilmuwan dan budayawan, sekitar 30-40 orang. Apabila semua yang hadir adalah Melayu, maka orang tidak segan silu mencurahkan perasaan hatinya, kekesalannya terhadap pemimpin politik Melayu, darjat kebudayaan Melayu yang terabai, dan kegetiran terhadap bukan Melayu yang tidak bertimbang rasa, dan sebagainya.
Rintihan diluahkan oleh bukan peribadi biasa, tetapi nama-nama yang dikira tokoh, dan ada pula yang secara bersopan mengungkapkan pandangan alternatif. Malangnya tajuk wacana itu sendiri terbiar tak terpecahkan. Apakah yang dimaksudkan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan Suasana Liberal Kebudayaan Masa Kini ? Dalam pemaparan blog saya beberapa ketika dahulu ( ) saya telah menyentuh bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan itu lebih merupakan metos daripada satu dokumen yang diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan atau telah diluluskan oleh Kabinet.
Ia satu keputusan dan pernyataan yang dibuat pada Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 yang dihadiri oleh ramai seniman, dan dipersetujui oleh budayawan, pegawaidan malah Kementerian Kebudayaan. Jadi dasar itu lebih pada kepercayaan orang yang hendak percaya saja walaupun kandungannya cukup penting. Pada penghujung pertemuan barulah seorang pegawai daripada Kementerian Kebudayaan menjelaskan bahawa dia sendiri tidak jelas batas dan ruang dasar itu, dan mengaku ia lebih merupakan satu pernyataan sahaja.
Supaya saya tidak berasa berdosa kerana dari awal lagi meragukan konsep dan status dasar itu saya turut menyatakan fikiran saya bahawa kita sebenarnya berbicara dalam gelap kerana mempercayai bahawa dasar itu benar-benar wujud. Di negara lain dasar kebudayaan ini hanya terbatas dalam perimeter tertentu, yakni dunia kesenian material dan bukan material (seperti bangunan warisan lama, istana, kota, monumen, dan seni muzik, bahasa, sastera, seni rupa serta persembahan, dll).
Jadi lebih jelas ruang lingkup konsep dan programnya; dan tidak menyentuh kebudayaan dalam erti umum , iaitu cara hidup, sistem sosial, dan sistem nilai-budaya yang amat luas itu. Hari ini pelbagai wacana, perbincangan, pertemuan dan kongres diadakan oleh masyarakat Melayu kerana berasa tertekan dengan situasi politik semasa. Melayu seolah-olah berada dalam krisis.
Apakah ini kebimbangan, keadaan emosi atau memang betul-betul nyata ? Ramai antara kita tak memikirkan sebab musababnya , bagaimana boleh terjadi begitu. Secara mudah ada yang melihat bahawa masyarakat Melayu sedang dihadapkan dengan ancaman dan gugatan daripada masyarakat bukan Melayu. Dari sejarah, kita mengetahui bahawa selama ini Menteri Kebudayaan itu semuanya dipegang oleh ahli politik Melayu. Jadi kalau kita tidak berpuas hati dengan keadaan kebudayaan kebangsaan, kita hendak salahkan siapa.
Apakah semua ini terjadi selepas Pilihan Raya ke-12, dan sebelumnya semua bagus-bagus belaka? Itulah apakala Melayu diberi kekuasaan , lalai menggunakan kekuasaan. Lihat di bawah dua Perdana Menteri Melayu, bahasa yang menjadi asas penting kebudayaan kita itu sedang menuju kehancurannya. Ini bukan kerja Lim Kheng Yik, Ong Kah Ting atau Samy Vellu. Marilah kita menjernihkan fikiran dan hati kita.
Apa yang saya dapat rumuskan daripada pertemuan petang ini, ialah ramai antara kita tidak berfikir secara rasional, kritis, dan berhemat menghuraikan situasi dan masalahnya. Kita mudah terpesona dengan pidato yang keras dan tegar. Kita wajar beremosi bagi memperkukuh pendirian, tetapi harus dibarengi dengan metode berfikir yang betul berasaskan maklumat dan pengetahuan. Kalau tidak kita akan kalah dengan lawan, selain daripada tak berjaya mengemukakan cadangan-cadangan yang boleh diterima oleh masyarakat pelbagai bangsa atau pemimpin.
Kehidupan kebudayaan ini, walaupun aspek keseniannya, sangatlah kompleks dan rumit. Faktor-faktor persekitarannya (kepelbagaian etnik, teknologi komunikasi moden, sistem pasaran bebas, seni tradisi dan seni avant-garde, kebebasan seniman, lalu lintas unsur budaya antarabangsa, hegemoni media Barat, dan gelombang komoditi serta budaya Cina baru, dll), harus dihurai kesan positif dan negatifnya , potensi dan risikonya dalam membicarakan pembentukan kebudayaan kebangsaan. Satu penilaian kritikal perlu dilakukan oleh kerajaan dan kita yang prihatin terhadap jatidiri dan negara.
No comments:
Post a Comment