Saturday 27 September 2008

Sunday 21 September 2008

ABDULLAH BATALKAN HASRAT BERUNDUR - BLOGGER UMNO

Harakah.Abdul Aziz Mustafa Sun Sep 21, 08 1:45:00 am
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Hrkh) -

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membatalkan hasratnya untuk meletak jawatan Oktober ini, kata blogger Umno, Amin Yatim (cuitsikit.blogspot.com)

Malah, menurut maklumat yang beliau terima, Abdullah akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Umno Disember ini.

Menurut Amin, walaupun selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) 18 September lalu Abdullah dikatakan akan meletak jawatan sebelum 9 Oktober, namun desakan menantunya Khairy Jamaluddin, Pegawai Khasnya Datuk Ahmad Zaki Zahid dan Setiausaha Politiknya yang juga Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad menjadi punca perubahan ini. Mereka meyakinkan Abdullah bahawa terdapat 100 bahagian akan menyokong pencalonan Abdullah sebagai Presiden Umno, kata blogger itu.

Isu perubahan kepimpinan bertiup kencang semula selepas Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. Menurut Amin, Bekas Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan menemui dua orang pemimpin kanan Umno iaitu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Dr. Mohamad Khir, katanya, dikatakan memainkan peranan penting dalam percaturan belakang tabir yang menimbulkan kegemparan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Khamis lalu. Antaranya, katanya lagi, termasuklah menerbitkan satu catatan berjudul "Krisis Kepimpinan: Pisau dan Mentimun Di Tangan Kita." yang dikatakan menjadi pencetus "kepanasan" mesyuarat MT Khamis lalu.

"Menurut sumber Malaysia Airline System (MAS), Dr. Khir telah menukar tiket kapal terbang untuk mengerjakan umrahnya dari 18 September ke 19 September pada petang Isnin lalu. "Pada pagi hari yang sama Dr. Mohamad Khir dilihat keluar dari pejabat salah seorang pemimpin tertinggi Umno," kata Amin dalam blognya itu. Dr. Mohamad Khir juga, katanhya, dikatakan menemui Dr. Mahathir sebanyak dua kali sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun, kata Amin, beliau difahamkan bahawa Dr. Mohamad Khir tidak sempat bercakap dalam mesyuarat MT tersebut kerana Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun "memotong sesi menghentam" Abdullah yang dimulakan oleh Ahli MT yang juga Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Afdal diikuti oleh Naib Presiden parti itu yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industr Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

Menurut Amin, Abdullah dikatakan memberitahu Setiausaha Agong Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas mesyuarat tersebut bahawa beliau akan melepaskan jawatannya dalam jangka masa yang terdekat.

"Namun mesyuarat bersama para pegawai dan menantunya semalam telah mengubah senario. Pak Lah dilaporkan telah diminta terus mempertahankan jawatannya. Desakan paling kuat dikatakan datang dari Khairy, Md Alwi dan Ahmad Zaki," kata blogger Umno itu.

Ketua Penerangan Umno yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dikatakan cuba mendapat sokongan Badan Perhubungan Umno Selangor kepada Abdullah yang bermesyuarat pagi Jumaat lalu, katanya. Namun, katanya lagi, 19 daripada 22 Umno bahagian di Selangor telah memutuskan untuk mencalonkan calon lain bagi jawatan Presiden Umno.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalammengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin-pemimpin Umno Perak dari peringkat bahagian, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di Bangunan Ibu pejabat Umno Perak di Ipoh.

Abdullah yang tiba kira-kira pukul 6.30 petang, disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali serta pemimpin Umno negeri yang lain. Selepas pertemuan itu, Abdullah yang juga Presiden Umno berbuka puasa bersama pemimpin Umno negeri sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.

Abdullah kemudiannya berlepas pulang ke ibu negara. Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. _

Saturday 20 September 2008

JAIP TANGKAP 20 ORANG TIDAK BERPUASA

20/09/2008 3:55pm.utusanonline.
PARIT BUNTAR 20 Sept. – Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) menahan seramai 20 orang Islam selepas didapati ingkar dan sengaja tidak berpuasa sejak awal Ramadan lalu.


Pengarahnya, Datuk Jamry Sury berkata, kebanyakan mereka yang ditahan seolah-olah sudah `berpakat' dengan memberi alasan sama iaitu menghidap penyakit gastrik semata-mata untuk tidak berpuasa.

Menurutnya, walau apa pun alasan yang diberikan, pihak penguatkuasa JAIP tetap menahan mereka kerana telah melakukan satu perbuatan yang amat memalukan umat Islam iaitu makan di khalayak umum semasa Ramadan.

"Mereka bukan sahaja melanggar perintah Tuhan tetapi tidak menjaga tatasusila sebagai umat Islam. Jelas sekali mereka itu tidak menghormati bulan Ramadan,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian bantuan Hari Raya Aidilfitri sumbangan Epic Valley Holdings Sdn. Bhd. (Epic Valley) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk) di sini hari ini.

PERSOALANNYA;

1. adakah berita dan cerita seperti ini yang dilaporkan setiap tahun mendatangkan faedah kepada umat.

2. tidakkah berita dan cerita ini menjadi bahan ketawa orang ramai terutamanya oleh bukan islam.

3. adakah ini antara pendekatan dakwah yang baik dalam mengembangkan syiar islam.

4. setelah mereka ditangkap, apakah langkah 'dakwah' susulan yang dilakukan terhadap mereka. pernahkah diperhalusi kenapa dan mengapa mereka bersikap sedemikian.

5. adakah langkah 'mengusung' mereka yang ditangkap dengan van jenazah oleh sesetengah negeri merupakan tindakan yang paling cerdik yang dapat dibuat.

5. bukankah lebih baik dilaporkan berita tentang kemurniaan islam yang lebih banyak daripada berita picisan seperti ini, yang rasanya tidak perlu dikhabarkan melalui akhbar.

Friday 19 September 2008

KHALID SAMAD: PAKATAN RAKYAT SUDAH MEMENUHI SYARAT PAS

17 Sep Wawancara. ummahonline.Oleh: Aqil Fithri.

Anwar Ibrahim khususnya, dan Pakatan Rakyat amnya, sudah canangkan 16 September 2008 sebagai tarikh tumbangnya kerajaan Barisan Nasional. Namun, 16 September sudah berlalu, dan tiada apa-apa perubahan dalam struktur politik negara.

PAS adalah antara komponen penting dalam Pakatan Rakyat. Di dalam PAS, antara yang kental mendukung operasi 16 September ini ialah Haji Ir. Khalid Abdul Samad, ahli parlimen Shah Alam. Selepas sidang akhbar Anwar Ibrahim pada 16 September, Ummahonline.com berjaya mendapatkan rumusannya tentang perkembangan politik mutakhir. Mari kita tinjau beberapa fakta menarik dalam wawancara ini.

Hari ini 16 September—Hari Malaysia. Sebagai ahli politik, apa perasaan anda pada hari ini?

Perasaan saya begitu ghairahlah. Ini kerana, saya rasa kita sudah berada di ambang perubahan sepertimana yang diwar-warkan selama ini. Dari segi tarikh 16 September, itu hanya sebagai satu simbol untuk menzahirkan kepimpinan kepada perubahan Malaysia yang baru. Walaupun tarikh tersebut yang disasarkan pada asalnya, tetapi oleh kerana tindakan dari pihak lawan, maka ini telah menyebabkan mereka berjaya untuk melewatkan sikit. Selain daripada itu juga, kita mempertimbangkan tentang keselamatan serta kemungkinan adanya tindakan balas sekiranya kita bertindak terlalu cepat. Jadi, untuk mengelak perkara tersebut, maka adalah difikirkan lebih baik kita melakukan tindakan sepertimana yang dijelaskan oleh Anwar Ibrahim sewaktu sidang akhbar tadi (16 September).

Namun demikian, tindakan tersebut tidaklah mengubah hakikat bahawa tarikh 16 September bagi Malaysia adalah tarikh yang mengemparkan dari segi potensi serta janji perubahan yang akan berlaku.

Anwar dan Pakatan Rakyat telah memohon pertemuan dengan Perdana Menteri, Pak Lah supaya proses peralihan kerajaan dapat dilakukan dengan lebih lancar dan licin. Tapi bagaimana sekiranya Pak Lah tidak melayan permohonan tersebut. Apakah tindakan Anwar khususnya, atau Pakatan Rakyat (PR) amnya?

Pertama sekali, kita harus memberi peluang kepada Pak Lah untuknya menunjukkan diri sebagai seorang yang bermaruah dan bertanggungjawab. Ini penting supaya Pak Lah dapat mendengar apa yang ingin kita katakan dan kemudian mengambil-kira hakikat bahawa PR mempunyai majoriti yang bersama kita. Jadi, kita beri Pak Lah peluang dan melakukan perbincangan secara tersusun serta secara tertib tentang proses peralihan kuasa. Ini bagi memastikan segala penyerahan maklumat, perpindahan tugas, dan lain-lain yang sepatutnya dilakukan dari kerajaan lama kepada kerajaan baru dapat dilaksanakan dalam keadaan aman damai.

Sekiranya Pak Lah tidak setuju untuk bertemu dengan kita, maka kita tidak ada pilihan lain. Jadi, kita boleh membawa persoalan ini pula kepada pihak yang lebih wajar. Antaranya ialah memohon mengadap Yang DiPertuan Agong, melakukan hebahan kepada media massa, ataupun menerangkan kepada masyarakat umum bahawa pada hakikatnya Pak Lah sudah tidak lagi layak menjadi Perdana Menteri kerana BN tidak mempunyai sokongan majoriti.

Tapi sehingga setakat ini media massa mahupun rakyat jelas tidak mengetahui maklumat terperinci mengenai siapa yang telah memberikan sokongan kepada PR? Jadi, bagaimana rakyat boleh bersikap untuk terus memberi kepercayaan kepada PR?

Pada hakikatnya, yang paling penting ialah kita telah punya majoriti serta jumlah yang minima. Jumlah yang tepatnya tidak perlu kita sebutkan, kerana kita khuatir akan ada tindakan yang tidak bertangggungjawab dari pihak BN nanti. Dan kalau kita sebutkan jumlahnya, maka BN akan kiralah dan nanti dia boleh buat agakan untuk tentukan siapa mereka yang bakal menyeberang. Sepertimana yang kita sedia ketahui, semua ahli parlimen kini sedang diawasi dan kemungkinan akan diambil apa-apa tindakan adalah sesuatu yang tidak dapat ditolak. Jadi, kita tidak mahulah menyebut. Biar ada sedikit tanda-tanya.

Atau, apakah ahli parlimen BN yang mahu menyeberang ini tidak cukup keberanian sehingga tidak mampu untuk buat kenyaatan secara terbuka?

Memang itulah hakikatnya. Ini kerana kita tidak begitu yakin apakah tindakan BN sekiranya dilakukan kenyataan secara terbuka. Maka, langkah kita ini adalah untuk melihat dulu sebarang tindakan BN. Jika dia beri jaminan peribadi bahawa BN takkan bertindak dan menerima keputusan ahli-ahli parlimen yang ingin menyeberang itu, maka kita sedia buktikan kepadanya bahawa kita memang sudah ada nama-nama tersebut dan kita minta supaya segera dibincangkan tentang proses peralihan.

Sehingga setakat ini, apakah halangan yang maseh lagi wujud untuk Anwar menjadi Perdana Menteri, serta seterusnya membentuk kerajaan PR?

Yang pertama, adalah mengenai jumlah ahli parlimen BN yang mahu menyertai kita. Itu telah selesai. Yang kedua, soal syarat PAS yang telah diterima dan dipersetujui—di mana semestinya majoriti ahli parlimen dalam PR maseh terdiri daripada orang Islam. Dan yang ketiga adalah tindakan daripada pihak kerajaan BN sendiri, sama ada mereka akan bertindak menghalang ataupun sebaliknya ekoran kehilangan kuasa mereka itu. Tapi itu tidaklah bererti mereka tidak akan bertindak. Mereka mungkin akan cuba menggunakan kuasa polis dan sebagainya.

Apakah Anwar dan Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan rentas parti politik? Maksudnya, apakah kerajaan PR yang bakal dibentuk ini akan merangkumi semua parti politik utama negara. Bahkan, apakah barangkali mereka yang mahu menyeberang ini, bukan atas nama parti, sebaleknya atas nama peribadi sahaja? Adakah juga ahli parlimen yang mahu menyokong Anwar ini sampai perlu bertindak untuk meninggalkan parti mereka yang sedia ada?

Jika mereka maseh kekal dalam Umno/BN, saya fikir itulah adalah cara yang sukar kerana sekiranya tindakan tersebut dipersetujui oleh Anwar sekalipun, itu tidaklah bererti displin BN tidak akan ambil tindakan. Mungkin mereka akan pecat juga akhirnya orang-orang ini, ataupun sebagainya.

Maknanya, pada akhirnya BN/Umno secara rasmi tidak akan bersama dengan PR. Kalau ada individu Umno yang bersama kita, dan mereka tidak keluar parti, pasti dia akan dipecat dari parti juga nanti.

Anwar ada menyebut bahawa ada di kalangan menteri juga terlibat dalam kerajaan Pakatan Rakyat nanti. Bagaimana penjelasan anda?

Saya rasa itu tidak mustahil. Ini semua bergantung kepada tahap perbincangan yang diadakan oleh Anwar dan mereka. Saya sendiri rasa di situlah kelebihan yang ada pada Anwar kerana sebagai mantan timbalan perdana menteri, maka tentunya ia dikenali oleh orang-orang ini yang kemudiannya sanggup berhubung dengannya dan menyatakan pandangan mereka secara ikhlas.

Apakah Anwar telah mengumpan pemberian kuasa dalam kerajaan PR nanti sebagai tawaran untuk mereka yang inigin menyeberang?

Semestinya orang yang mahu memberikan sokongan itu tentu ingin melihat mereka juga diberikan peranan di dalam kerajaan yang baru nanti. Tetapi saya rasa, selain daripada persoalan ini, orang-orang yang dilantik itu semestinya juga merupakan orang-orang yang mempunyai kemampuan. Kita boleh terima langkah itu sebagai kompromi politik di mana orang-orang di Sabah & Sarawak turut diberikan jawatan. Tetapi yang penting, bagi kita ialah mereka mempunyai kemampuan dan mampu menjalankan tugas sepertimana yang dikehendaki.

Pertanyaan yang paling dasar sekarang ini, dan barangkali juga yang paling popular di kalangan rakyat ialah, siapa yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam kerajaan PR nanti?

Saya rasa benda itu akan dirunding bersama nanti. Tetapi saya rasa, ianya tidak akan menjadi satu masalah untuk kita menyelesaikannya setelah mempunyai kuasa nanti.

Apakah PAS meletakkan syarat bahawa Timbalan Perdana Menteri (TPM) mestilah Melayu?

Saya rasa kemungkinan itu adalah antara perkara-perkara yang kita bincangkan bersama. Tetapi ada juga kemungkinan yang lain, iaitu terdapat lebih dari satu TPM. Maknanya bila kita sudah duduk bersama, dan masing-masing dengan membawa kekuatan masing-masing, maka di situ kita putuskan secara yang adil dengan mengambil-kira kekuatan serta sokongan yang ada pada semua pihak. Mungkin satu formula yang kita ada ialah, satu TPM dari PAS, satu TPM dari DAP, dan satu lagi TPM dari Sabah & Sarawak. Itu satu formula yang berkemungkinan.

Tapi sebenarnya apa yang kita lihat, dalam PR merupakan satu keadaan yang berbeza dalam BN. Dalam BN ada parti yang terlalu dominan, iaitu Umno. Sebaleknya di dalam PR ini, kita akan melihat satu keadaan di mana semua parti saling memerlukan, dan tidak ada yang terlalu dominan yang menyebabkan suasana “semak & imbang” itu lebih berkesan sekiranya dibandingkan dengan kerajaan di bawah BN.

Mengapa sampai perlu tunggu 16 September untuk membuat peristiyaran tentang kerajaan baru. Walhal, PR sudah mendakwa akan mengambil-alih kerajaan semenjak Mac 2008 lagi. Bukankah lebih wajar 16 September ini diangkat sebagai hari perubahan kuasa politik negara secara struktur, bukannya hari untuk mengistiyarkan saja?

16 September ini kita kenang sebagai hari Malaysia, dan Anwar telah umumkan lebih awal tentang perkara tersebut. Hanya menunggu dari segi usaha untuk mendapatkan jumlah yang mencukupi sahaja sebelum kita boleh istiyarkan. Ini Anwar punya anggaranlah.

Manakala selepas 26 Ogos, mungkin maseh ada lagi usaha untuk mendapatkan orang yang barangkali belum mencukupi. Jadi, kemenangan Anwar pada pilihanraya raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos telah menambah keyakinan tersebut. Jadi, saya rasa sebelum 26 Ogos itu, mungkin ada yang ragu-ragu. Jadi, dari segi komitmen sepenuhnya itu memanglah tidak tercapai, sehinggalah Anwar mendapat sokongan rakyat yang bertambah kukuh pada 26 Ogos itu.

Justeru itu, antara 26 Ogos hingga 16 September ada banyak perundingan dan untuk membuat pengistiyaran yang lebih awal sudah terlalu dekat dengan tarikh 16 September. Maka itu yang menyebabkan Anwar menggunakan tarikh yang paling minimun 16 september, dan ini pula sedikit sebanyak dapat memenuhi kehendak dan harapan serta janjinya kepada rakyat. Saya kira mungkin Anwar mahu buat lebih awal juga, tetapi ada banyak halangan, termasuklah ahli-ahli parlimen BN yang terpaksa diangkut ke Taiwan pada saat-saat terakhir.

Jadi, kemungkinan asal yang dikehendaki memang pada 16 September. Tetapi kerana halangan-halangan tersebutlah, maka Anwar buat yang paling minima. Sekurang-kurangnya kita istiyarkan dulu. Jadi tidaklah 16 September itu berlalu tanpa apa-apa.

Saya fikir, kalau tidak ada halangan-halangan itu, sebelum 10 September lagi Anwar sudah boleh buat sepertimana yang dirancangkan. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Secara strukturnya, bila PR akan memerintah Malaysia?

Kalau harapan kita, kita mahu selesaikan dalam bulan Ramadhan ini supaya kita akan menemui Syawal dengan kerajaan yang baru