Tuesday, 28 October 2008

APA SUDAH TERJADI KEPADA MAT GLAMOUR?

Tentu kita semua masih ingat tentang seorang budak berusia 14 tahun yang terpaksa berhenti sekolah untuk menyara adik-adiknya seramai 8 orang. Pasti kita belum lupa kepada kisah yang kononnya 'menyayat hati' dan tidak mendapat simpati dari masyarakat tempatan di Titi Bakong, Yan, Kedah yang mula tersiar pada 6 September 2008 yang lalu.

Kini sudah lebih sebulan berlalu dan kehidupan Mat Glamour atau Mohd. Norsharul Amri bin Anuar telah berubah sama sekali. Wang dan sumbangan mencurah-curah datang dari berbagai pihak membuat Mat menjadi seorang 'hartawan' sekarang. Ibunya dan adik-adiknya tidak susah lagi.

Apa yang dikehendaki semuanya dapat dibeli dengan wang yang puluhan ribu dalam akaun.Hendak memiliki handset, sudah ada handset, malah yang berjenama pula. Begitu juga ibunya dan adik-adiknya, mempunyai handset seorang satu.

Ibunya sudah beberapa kali 'rebounding' rambut dan ke sana ke mari dengan jeans dan berbaju T ketat dengan tanpa tudung. Rantai leher dan gelang tangan yang tidak terkira lagi hebatnya.

Terima kasih kepada para dermawan yang telah mengubah kehidupan Mat sehingga melebihi kawan-kawannya yang dulu senang sedikit darinya.Tetapi Mat dan adiknya hanya berubah tentang gaya hidup tetapi masih tetap dengan keadaan yang sama dari segi persekolahan.

Mat dan Mastuti Norsiti Atika tetap juga tidak ke sekolah seperti yang diharapkan. Dalam seminggu kadang-kadang Mat tidak pergi langsung. Kalau pergi pun hanya sehari. Adiknya juga menurut jejaknya.Setiap hari boleh dilihat Mat dengan basikalnya, merayau-rayau di Titi Bakong dan pekan Yan.

Kadang-kadang pergi sekolah, banyaknya tidak pergi sama sekali. Adiknya dilihat memakai pakaian seragam tetapi tidak sampai ke sekolah.Sebenarnya dari dulu lagi saya katakan bahawa Mat tidak ke sekolah bukan kerana tidak ada wang. Bukan kerana miskin. Bukan juga kerana hendak menjadi kelindan lori menyara adik-adiknya. Dia memang tidak mahu bersekolah. Bukan kerana kemiskinan tetapi kerana sikap.

Sia-sialah sumbangan yang diberikan oleh berbagai pihak kerana Mat tidak perlukan wang. Mat dan keluarganya tidak berubah sama sekali. Sebenarnya Mat berkehendakkan pakar motivasi supaya boleh mengubah sikapnya itu. Itulah yang Mat dan keluarganya perlukan, bukannya harta. Selagi sikap Mat tidak berubah, banyak mana wang pun tidak akan berjaya mengubah Mat.

Sebelum ini pun pihak sekolah telah memberi macam-macam bantuan kepada Mat. Bantuan wang KWAPM turut diberikan sebelum berita tentangnya heboh dahulu. Sebelum ini pun berbagai bantuan diberikan oleh orang-orang perseorangan di kawasan ini. Selain itu, biasiswa juga turut diberikan kepadanya walaupun adiknya juga telah mendapat biasiswa tersebut.

Bayangkan apa akan jadi kepada Mat setahun lagi? Tahun hadapan dia akan menduduki PMR. Pihak sekolah tidak dapat berbuat apa-apa sebab dia tidak hadir ke sekolah untuk mengikuti program-program peningkatan akademik yang dianjur oleh pihak sekolah. Sama-samalah berdoa untuk kejayaan Mat.

Sunday, 26 October 2008

MUKHRIZ HANYA MENANG SORAK

APABILA Dr Mahathir Mohamad menggesa ahli-ahli Umno menyingkirkan penyokong Abdullah Ahmad Badawi daripada parti itu, sasaran utamanya adalah Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mahathir bukan ahli Umno, sama ada beliau masuk Umno atau berada di luar Umno, keadaan tidak akan berubah. Mahathir tidak 'menyalak' untuk kepentingan dirinya, yang jelas beliau bekerja keras untuk membantu anaknya, Mukhriz.

Walaupun Mukhriz mendahului jauh dalam pencalonan Ketua Pemuda Umno, Mahathir sedar bahawa pencalonan sebesar itu tidak semestinya diterjemah dalam bentuk undi.

Khairy dalam interbiunya di akhbar The Sun mengakui sebelum bapa mertuanya berundur beliau adalah calon 'favourite' tetapi selepas Abdullah mengumumkan pengunduran beliau sudah menjadi 'calon underdog.'

Mahathir tahu budaya Umno. Beliau mengakui, walaupun menerima pencalonan dua pertiga dalam tahun 1987 untuk jawatan Presiden Umno, beliau hanya menang tips 43 undi mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah.

Justeru sudah tentu Mahathir takut igauan buruknya berulang kepada anaknya dalam pemilihan jawatan Ketua Pemuda.

Mukhriz bukannya calon terbaik untuk menerajui Pemuda Umno. Beliau tidak mempunyai karisma atau keterampilan. Sebelum ini pun beliau tidak aktif berpolitik. Yang aktif, abangnya Mokhzani, bekas Bendahari Pemuda Umno.

Mukhriz menerima pencalonan besar dari pemuda bahagian hanya kerana 'hate politic' - politik kebencian, pihak tertentu dalam Umno terhadap Abdullah dan anak menantunya.

Manakala seorang lagi calon, Mohamad Khir Toyo mempunyai peluang yang amat kelam. Pertarungan Ketua Pemuda ialah antara pengaruh Abdullah dengan Mahathir. Ianya pertarungan Khairy-Mukhriz.

Kail milik Khir Toyo, hanya sejengkal sahaja, tetapi beliau berangan untuk menduga lautan yang dalam. Hakikatnya Khir boleh mencuba, tetapi beliau tidak termasuk dalam senarai. Level Khir hanya setakat Selangor sahaja. Itu pun tidak terdaya berhujah dengan Hasan Ali dan Teresa Kok.

Kelebihan pada Khairy dan Mukhriz ialah mereka merupakan warisan politik 'pedigree' (salasilah). Umno bukannya parti golongan marhaen, mereka mewarisi perjuangan aristokrat - bangsawan.

Najib Razak, Hishammuddin Hussein juga merupakan warisan aristokrasi dalam Umno. Oleh sebab itu, golongan yang suka main dengan penyapu macam Khir Toyo, tidak berapa disukai.

Berbalik kepada pemilihan Ketua Pemuda, pemilihan dibuat melalui perwakilan. Empat orang wakil pemuda bahagian. Ketua dan Naib Ketua menjadi perwakilan secara automatik, manakala dua lagi dipilih oleh perwakilan.

191 bahagian Umno didarab dengan empat bermakna ada 764 orang perwakilan, tidak termasuk Exco Pemuda.

Diakui Mukhriz mendahului dengan pencalonan yang besar. Setakat ini apabila nama Mukhriz diumumkan sebagai calon, perwakilan akan bersorak bertepuk tangan. Manakala apabila nama Khairy disebut, ada yang menyambutnya dengan 'boo'. Itu respon dari 'floor'. Respon ini tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi.

Jika Khairy hanya menerima pencalonan daripada 40 bahagian, hampir pasti semua undi 'solid' kepada beliau. Sudah pasti Mukhriz tidak akan mendapat undi sebesar pencalonannya.

Sebahagian besar Ketua Pemuda dan Naib Ketua pemuda bahagian adalah rakan-rakan rapat Khairy. Ada yang mengatakan mereka ini sudah di'bela' oleh Khairy sekian lama.

Walaupun pencalonan daripada bahagian mereka dimenangi oleh Mukhriz, apakah rakan-rakan Khairy ini akan mudah memberikan undi kepada Mukhriz? Sudah tentu tidak!

Inilah kebimbangan Mahathir sebenarnya. Mahathir tahu anaknya hanya akan 'menang sorak', maka beliau akan terus 'menyalak' untuk mempercepatkan kejatuhan Abdullah.

Pada ketika ini, keikhlasan dan kejujuran sokongan orang-orang Umno sangat-sangat dipertikai dan disangsikan, sama ada oleh Khairy mahupun Mukhriz.

Kesangsian ini wujud kerana prinsip sokongan mereka berpaksikan kepada kuasa dan wang, bukan pada merit dan karisma. Mereka sanggup membuang prinsip Walaupun sehingga 'kampung tergadai'.

Khairy harus sedar, walaupun merit dan karisme ada padanya, kuasa sudah tiada. Mahu tidak mahu saki baki pengaruh Abdullah dalam Umno masih diperlukan untuk menampung kempennya.

Jika hayat politik Abdullah tidak sampai Mac 2009, Khairy juga harus bersedia untuk 'bungkus' lebih awal.

Oleh itu, semua yang berada ditampuk kuasa harus beringat, sehebat mana, selicik manapun anda berpolitik, sedarlah kata pepatah 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua'._

Saturday, 25 October 2008

2 x 5 = 5 x 2

Saya mendapat banyak laporan berkenaan dengan politik wang dalam Umno. Demikianlah keadaan sehingga Dato' Seri Dr Rais Yatim mencadang secara sinis supaya jawatan-jawatan Majlis Tertinggi ditender. Dato' Seri Shahidan Kassim amat marah dan akan tender sebanyak RM1 untuk Rais. Bila makan cili rasa pedas.

Saya diberi tahu wang banyak digunakan. Dahulu cuma ketua pemuda bahagian sahaja dapat. Ini menyebabkan pemegang jawatan lain dalam pergerakan enggan bekerjasama. Sekarang semua mendapat sogokan dan hasilnya amat memuaskan bagi penyogok.

Ketua-ketua Bahagian dan ahli jawatankuasa juga dijemput ke Kuala Lumpur untuk berjumpa orang tertentu. Mereka di arah supaya mencalonkan orang-orang tertentu untuk Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi. Juga pencalonan Ketua Pemuda. Berkesan atau tidak akan kita lihat daripada pencalonan yang dibuat.

Tetapi cawangan dan ahli biasa pun sudah pandai. Mereka menawarkan sokongan mereka jika sekian-sekian banyak dihulur.

Mereka yang menang boleh jadi Yang Berhormat, ahli Exco, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, pengerusi syarikat-syarikat Kerajaan dan juga dapat kontrak berjuta Ringgit.

Ahli biasa yang memberi sokongan dengan undi mereka dapat apa? Dengan kesedaran akan soal ini maka penyokong dan pengundi pula berpendapat mereka juga harus dapat nikmat daripada pemberian undi mereka. Maka mereka akan menunggu sogokan sebelum memberi undi mereka.

Amalan rasuah dalam Umno di semua peringkat sudah menjadi buah mulut orang ramai. Mereka jelek dan muak dengan Umno, orang Umno dan pemimpin Umno. Perasaan benci kepada Umno sebagai parti yang tidak bermoral merebak ke merata-rata tempat.

Orang ramai melihat Umno sebagai parti pimpinan orang-orang yang berkepentingan diri semata-mata. Dari cawangan sehinggalah kepada pucuk pimpinan yang diutamakan ialah jawatan dan peluang memain kuasa dan buat duit apabila memegang jawatan.

Dalam pilihan raya umum 2004, rakyat memberi sokongan padu kepada BN. Ini adalah kerana rakyat percaya benar yang kepimpinan baru Umno dan Barisan Nasional akan menjadi lebih baik daripada yang terdahulu.

Antara 2004 dengan 2008 mereka dapat lihat pemerintahan Abdullah dengan rasuah yang berleluasa dan keruntuhan ekonomi. Mereka juga lihat peranan yang dimainkan oleh keluarganya dan kroni mereka dan juga sikap ahli-ahli kabinet. Apa yang mereka lihat meyakinkan mereka bahawa pemerintahan ini tidak baik. Hasilnya ialah keputusan pilihan raya ke-12.

Mereka kecewa bahawa Abdullah bukan sahaja tidak membetulkan keadaan tetapi sebaliknya menafikan kekalahan dan penolakan oleh pengundi, termasuk yang terdiri daripada ahli-ahli dan penyokong Umno dan lain-lain parti komponen.

Saya percaya orang ramai amat kecewa melihat mainan wang dalam Umno sekarang. Wang akan mengalir dengan banyak dan laju semasa dan selepas pencalonan. Rumah terbuka oleh kementerian sedang diadakan dengan menggunakan duit Kementerian. Semasa rumah terbuka kempen untuk pencalonan diadakan.

Menjelang pemilihan bulan Mac 2009 lebih banyak lagi acara dan sogokan boleh diadakan. Kemuncak akan tiba apabila wakil ke Mesyuarat Agung tiba di Kuala Lumpur untuk bersidang. Kata orang melihat kepada jawatan-jawatan yang dipertandingkan tiap seorang wakil boleh dapat hingga RM20,000.

Ada yang berpendapat tidak apa menerima sogokan tetapi tidak semestinya mengundi penyogok. Jangan percaya iman penerima begitu kuat sehingga tidak merasa terhutang budi. Lagipun duit yang diterima adalah duit haram. Yang menerima akan menanggung dosa.

Terimalah. Pedulikan jika semua orang tahu. Apa salahnya. Dosa, dosalah. Tetapi seperti disebut di atas apabila pengundi pilihanraya umum sudah benci dan bosan dengan Umno mereka akan undi parti lawan untuk kalahkan Umno. Selepas kalah tidak ada lagi jawatan Perdana Menteri, Menteri dan lain-lain. Tidak akan ada lagi kontrak, AP dan lesen.Tidak akan ada lagi nikmat! Semua pihak akan merana, akan dihina oleh orang. Dan Umno akan habis riwayatnya. Mereka yang betul-betul sayang kepada Umno akan kutuk pemimpin dan ahli Umno.

Inilah akhirnya musibah yang akan diterima kerana tamak, kerana rasuah di kalangan pemimpin dan ahli Umno.

Thursday, 23 October 2008

BANJIR DIUTARA SEMAKIN BURUK.

ALOR STAR: Banjir di Kedah, Perak dan Pulau Pinang semakin buruk dengan hampir 3,000 mangsa dipindahkan sehingga petang semalam, manakala sekurang-kurangnya empat kereta tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Paya Terubong, Air Itam, Pulau Pinang.

Hujan lebat sejak beberapa hari lalu juga menyebabkan 4,400 hektar sawah di empat wilayah Mada Kubang Pasu, Pendang, Kota Sarang Semut dan Perlis, ditenggelami air. Kebanyakan sawah itu sudah mempunyai anak padi berusia sebulan dan ada yang baru ditabur benih.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara di sini berkata, paras air beberapa sungai yang mengalir dari kawasan tadahan di daerah Padang Terap, dilaporkan semakin meningkat berikutan hujan lebat sejak petang kelmarin. "Kita menjangka jumlah mangsa banjir akan bertambah, terutama apabila air di hulu Sungai Kedah mula turun dan melimpah sekali gus menyebabkan kawasan di daerah Kota Star dan Kuala Kedah antara yang mengalami risiko banjir tinggi," katanya.


1. Jangan kita terlepas pandang. isu ini merupakan persoalan 'survival' golongan marhain yang perlu dipandang secara sangat serius. Ianya merupakan masalah setiap tahun dan apakah langkah yang telah diambil dengan bersungguh-sungguh untuk mengatasinya. setidak-tidaknya mengurangkannya.

2. Masalah banjir ini terutamanya dikawasan utara bukanlah isu terpencil yang sekali sekala berlaku. saban tahun cerita yang sama dilaporkan, cuma tarikhnya yang berubah.

3. Kalau ianya berlaku dipusat-pusat bandar seperti di kuala lumpur dan shah alam contohnya, langkah segera yang melibatkan jumlah wang yang banyak tentunya telah diambil. walaupun jika dikira keluasan kawasan yang terlibat jauh lebih luas dan besar berbanding dipusat bandar. apatah lagi jika dikira kesusahan yang terpaksa diharungi oleh mereka yang memang telah susah.

4. mungkin suara mangsa banjir ini menceritakan tentang kesusahan banjir ini nampak biasa sahaja, mungkin kerana kesusahan telah mendarah daging dalam hidup mereka. cuba bandingkan dengan reaksi penduduk bandar yang dilanda banjir, hampir 'separuh mati' datuk bandar dikerjakan mereka.

5. dilihat 'pesta' banjir diutara pada tahun ini tidak se'glamour' tahun-tahun yang sudah. laporan laporan yang disiarkan pun sekadar melepas batuk ditangga. suara keresahan mereka yang susah makin terpinggir dalam hidup kita.

6. mungkin laporan banjir tidak dapat memanggil khalayak ramai untuk menonton apatah lagi membaca apatah lagi menyelaminya. mungkin itulah realitinya masyarakat hari ini. ataupun berita tenggelam banjir tahun ini, telah ditenggelamkan berita politik umno yang lebih bahaya dari bahaya banjir. mungkin.

7. mana pimpinan politik tidak kiralah parti apa pun. bukankah mereka selalu mencanangkan mereka pejuang rakyat. masa inilah peluang keemasan mereka untuk mengotakan janji tersebut bagi membuktikan rakyat tidak tersalah pilih mereka. ataupun hanya sekadar retorik pilihanraya.

8. sejumlah 5 bilion boleh diluluskan segera bagi menampung kesusahan orang kaya di BSKL. untuk orang miskin dan susah ini, tentulah peruntukannya lebih lagi. mungkin itulah sebabnya peruntukan lambat diumumkan lagi. kita tunggu dan lihat.

Wednesday, 22 October 2008

MUSA MAHU GENERASI MUDA DALAM KEPIMPINAN UMNO


Generasi muda diperlukan bagi membantu memulihkan semula penyakit tua Umno yang kini sudah menginjak usia 61 tahun, kata bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam.

Katanya, penyakit tua Umno kini tidak boleh lagi dibaiki atau dirawat golongan tua kerana Umno kini memerlukan muka baru yang lebih muda untuk mengembalikan semula Umno serta keyakinan rakyat terhadap parti itu.

"Penyakit tua ini tidak boleh diperbaiki oleh orang tua-tua, jadi maksud saya mereka yang hendak bertanding pada pemilihan Umno Mac depan, yang ingin memegang jawatan-jawatan tertinggi haruslah terdiri daripada golongan muda yang mempunyai idea-idea yang baru," katanya kepada pemberita pada persidangan akhbar.

Biarpun ramai yang beranggapan untuk memulihkan Umno, kombinasi antara generasi tua dan muda merupakan satu tindakan yang bijak, namun Musa berpendapat dalam keadaan Umno yang sudah berusia 61 tahun adalah lebih baik generasi muda mengambil alih parti itu sepenuhnya. "Kalau kita lihat dalam senarai peringkat tertinggi, kita melihat calon Presiden dan Timbalan Presiden, yang senior dan yang berpengalaman menjadi pilihan, tapi pada saya tidak mengapalah itu pilihan mereka, tetapi jawatan lebih bawah daripada itu saya lebih suka golongan muda yang mengambil bahagian," katanya.

Musa berkata Umno harus sedar bahawa sokongan rakyat terhadap parti itu kini telah menurun berikutan isu-isu yang ada kaitan dengan persepsi rakyat."Persepsi rakyat ialah Umno begitu lama berkuasa dan pada pendapat mereka dari hasil pilihan raya Mac lalu, ada kelemahan-kelemahan yang begitu serius yang Umno tidak dapat mengatasinya termasuk isu rasuah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata generasi kini merupakan orang terpelajar yang boleh berfikir dan tidak mahu lagi menerima amalan rasuah serta mendambakan akauntabiliti serta kredibiliti yang baik pada seorang pemimpin."Orang sekarang bukan seperti dahulu, macam zaman saya, kini kebanyakan masyarakat, orang terpelajar yang tidak mahu amalan rasuah, apa juga yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin jika pemimpin tersebut tidak ada kredibiliti, jika imej mereka tidak diterima maka apa jua yang diperkatakan pemimpin itu tidak mahu mereka terima," katanya.

Sementara itu, Musa yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri turut mengulas mengenai proses pemilihan pemimpin yang sedang berjalan dan menyifatkan cara pemilihan calon yang dibuat berasaskan ukuran lama. Setakat ini tiada seorangpun calon yang hendak bertanding dengan jelas menyebut bahawa sekiranya dipilih maka pemimpin itu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menangani kesan akibat krisis ekonomi dunia, jelasnya.

Menurut Musa, ini membuktikan anggota Umno sibuk berebut kuasa untuk kepentingan diri sedangkan yang sepatutnya mereka fikirkan ialah masalah rakyat dan cara bagi mengatasinya.


1. Sangat menarik dan memberangsangkan pandangan Tun Musa. Harus diperhalusi semua pihak terutamanya oleh pimpinan umno.

2. Beliau juga berpendapat lagi, selama ini Umno lebih memfokuskan secara dalaman sahaja, tetapi kurang melihat kepada persepsi rakyat keseluruhannya.

3. Lebih penting juga BAGAIMANA PENGISIAN YANG HARUS DILAKUKAN BAGI MENARIK MINAT GOLONGAN MUDA.

4. Umno seharusnya dilihat sebagai satu wadah perjuangan yang diimpikan oleh golongan muda. Tidak cukup setakat aktiviti-aktiviti 'ad-hoc' untuk seronok-seronok sementara sahaja.

BAGAIMANA PENGISIANNYA? Tanggungjawab besar menanti mereka yang dipilih Mac nanti, demi kelangsungan parti, samada masih releven atau tidak.

Tuesday, 21 October 2008

KENAPA PENCALONAN BAHAGIAN TIDAK DIGUNAPAKAI SEBAGAI KEPUTUSAN MUKTAMAD



Sekarang demam pemilihan dalam umno telah hampir 'kebah'. Setiap bahagian umno sibuk dengan pencalonan masing-masing dalam proses mancari pemimpin mereka yang paling 'afdal' yang dirasakan paling sesuai bagi memimpin mereka.

Persoalannya ialah, adakah suara setiap bahagian ini akan selari dan seiring dengan pemilihan bulan Mac yang akan datang. Kenapakah pencalonan bahagian ini tidak digunapakai sebagai keputusan muktamad pemilihan pimpinan umno. Manakala perhimpunan bulan mac ini eloklah hanya sekadar perhimpunan untuk meraikan mereka yang telah dipilih.

Bukankah pencalonan bahagian ini merupakan suara akar umbi yang paling tepat dan merupakan gambaran yang diinginkan akar umbi. Sekiranya ada usaha melobi melalui bahagian tidak kiralah samada melalui politik wang, janji projek dan sebagainya, dirasakan keberkesanannya agak terbatas. Ini kerana skopnya yang besar dan luas meliputi seluruh bahagian diseluruh negeri.

Terdapatnya banyak laporan pencalonan bahagian dimana suara pimpinan bahagian dan ahli-ahlinya tidak selari, tetapi akhirnya suara ahli yang dipilih. Masalahnya ialah apabila pengundian dibuat pada perhimpunan Mac nanti, perwakilan bahagian yang beberapa orang itulah yang akan membuat pengundian semula. Pada peringkat inilah usaha melobi ataupun politik wang oleh calon jika dilakukan akan berjaya dengan cemerlang dan gemilangnya.

Ini kerana perwakilan yang jumlahnya lebih kurang 2500 orang inilah akan menentukan pimpinan parti. Seolah-olahnya pencalonan bahagian tidak berguna. Bukankah pencalonan bahagian adalah sia-sia dan membazir masa jika suara perwakilan pada Mac nanti tidak sama dan selari dengan pencalonan akar umbi.

Satu lagi yang dirasakan perlu diubah ialah jarak masa antara mesyuarat bagi pancalonan setiap bahagian ini tidak boleh terlalu jauh. Paling molek sekiranya dijalankan serentak. Ini bagi mengelakkan keputusan pencalonan satu-satu bahagian digunakan sebagai 'inspirasi' pencalonan bahagian lain. Ini terutamanya pencalonan bahagian presiden dan timbalan presiden yang bakal digunakan oleh bahagian lain atas alasan selari dengan pucuk pimpinan. Kaedah dan caranya boleh diperhalusi kemudian.

Pencalonan oleh bahagian ini menjadi sangat penting apabila sistem kuota mula diperkenalkan sejak peristiwa pemilihan tahun 1987 dulu. Dirasakan sistem ini elok, tetapi haruslah diperkemaskan sebagai pemilihan oleh bahagian tetapi bukannya pencalonan untuk layak bertanding sahaja. Pencalonan oleh bahagian eloklah digunapakai sebagai proses pemilihan yang muktamad.

Lihatlah pada peristiwa tahun 1987 dimana Dr Mahathir menerima pencalonan lebih 2/3 daripada bahagian. Lojiknya tentulah beliau tidak ada aral yang melintang lagi. Tetapi bila pemilihan dibuat seperti yang termaklum Dr Mahathir nyaris-nyaris tewas tersungkur.

Bagi kali ini pemilihan pimpinan ketua pemuda paling sengit terutamanya antara Khairy vs Mukhriz. Gambaran awal menunjukkan Mukhriz ada 'dihati' ahli pemuda. Tapi yakinlah Khairy tidak akan berpeluk tubuh dengan senyuman manja dengan 'signal' yang pemuda bahagian berikan. Tentunya usaha melobi akan dilakukan dengan apa cara sekalipun.

Percayalah kita bahawa sistem yang diamalkan ini sebenarnya menyemarakkan politik wang menjadi lebih membarah dan bernanah. Yang menang pencalonan akan berusaha untuk menterjemahkan pencalonan itu kepada kemenangan sebenar dengan apa cara sekalipun. Yang tewas pencalonan, tapi layak bertanding juga akan berusaha dengan apa cara sekalipun, supaya kemenangan dipihaknya.

Semua dan segalanya ini apa lagi kalau tidak dengan wang. Makanya politik wang akan dapat dihapuskan. Jawapannya tentulah sangat-sangat mustahil, akan hanya merupakan retorik sampai bila-bila.

Eloklah pemilihan dua kali ini yang tidak berapa cerdik ataupun dalam bahasa yang mudahnya 'bodoh' ini dihentikan supaya matlamat perjuangan umno kembali dilandasannya seperti yang difalsafahkan dalam perlembagaan perjuangannya demi kelangsungan umat melayu seperti yang dinyanyikan pimpinan atasan.

Sunday, 19 October 2008

UMNO HANYA MENANTI PAKU TERAKHIR


Ahmad Lutfi Othman Sun Oct 19, 08 4:13:19 pm MYT

SEMAKIN dekat Najib Razak dengan takhta dan teraju kuasa, makin banyak pula dakwaan negatif yang dihalakan kepadanya. Tidak cukup dengan tanggapan rasuah tentang pesawat perang, kapal selam kini pembelian helikopter pula.

Memang segala tuduhan itu belum dapat dibuktikan, namun Najib yang sejak lama sukar dilihat bersih terpaksa bersilat menangkis segala tohmahan itu.

Sudah beberapa kali beliau menyanggah, terutama atas kapasiti Menteri Pertahanan, malah bersumpah di masjid pun Najib sanggup, malangnya, tidak ramai yang bersedia untuk menerima penjelasan beliau, malah sebahagian mencurigainya.

"Retak di permulaan jalan". Hubungan Abdullah Badawi dengan Najib bukan "retak di tengah jalan", seperti hubungan Mahathir dengan Musa Hitam ataupun Anwar Ibrahim. Jika Musa dan Anwar dianggap pasangan serasi bersama Mahathir di awal perlantikan mereka sebagai timbalan perdana menteri, semua tahu Najib sejak awal mula bukan pilihan Abdullah.

Najib terpaksa dipilih kerana Dr Mahathir Mohamad memberi tekanan kuat kepada Abdullah. Dalam bahasa Mohamad Sabu, Abdullah seolah-olah "kahwin paksa" dengan Najib. Muhyiddin Yasin yang dianggap regu sesuai Abdullah ketika itu, tiba-tiba kini menjadi hujung tombak kumpulan yang menentangnya.

Johor yang sepatutnya kuat membela Abdullah (di sana ada Musa Hitam, Shahrir A Samad) bertukar menjadi pendesak utama untuknya melepaskan jawatan dalam kadar segera. Itulah yang paling menghibakan Abdullah. Mahathir pula mengingatkan Najib bahawa dalam Umno sendiri ramai yang sedia menjatuhkannya.

Mitos lama berakhir. Dan ini bukan perkara pelik. Selama ini - sebelum pilihan raya 2008 - yang berpotensi menjatuhkan pemimpin Umno adalah orang Umno juga, pembangkang hanya berkuku di Kelantan dan sesetengah kawasan di Kedah dan Terengganu.

Debar pemilihan Umno lebih kencang geloranya berbanding pilihan raya umum. Merebut menjadi calon pilihan raya mewakili Umno-BN adalah cabaran sengit yang mesti dilalui terlebih dahulu. Ramai yang tersungkur dalam pemilihan bahagian disebabkan cantas-mencantas, politik wang atau kerana terlalu baik untuk Umno!

Walaupun kalah agak teruk dalam pilihan raya 2008, dan hilang teraju kuasa di Kedah, Perak dan Selangor, keghairahan untuk merebut jawatan tidak pernah padam. Buktinya, ada mesyuarat bahagian Umno terpaksa dikawal oleh anggota FRU, dan ini berlaku di Kelantan, negeri yang mana peluang parti itu untuk kembali berkuasa begitu tipis.

Namun begitu, Umno seolah-olah masih dilihat lubuk emas yang menjanjikan kemilau peluang membina kekayaan dan anak tangga mendaki kerjaya politik lebih tinggi. Namun, tanggapan itu kini umpama fatamorgana.

Umno adalah milik masa lalu, bukan aset masa depan. Nostalgianya mungkin sarat dan ia sendat pula dengan kenangan manis. Tetapi, berdepan realiti dan cabaran mendatang, Umno kelihatan tiada tempat.

Imiginasi anak muda tak tersentuh, harapan orang tua tak tersampai. Korupsi membusung. Fikir penggiatnya, sementara ada habuan duniawi yang berbaki lebih baik cepat-cepat direnggut. Hilang segala idealisme, pupus segala cita-cita luhur. Malah, tanpa negeri seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang, pengikat sokongan mudah terlerai.

Usaha dekati pengundi Melayu. Bagaimanapun, dari segi kerusi di Parlimen, Umno memang nampak di hadapan, masih meninggalkan penguasaan PAS dan KeADILan, terutama dalam konteks mewakili kawasan Melayu. Gabungan wakil Melayu PAS-KeADILan belum dapat menyaingi Umno, ya ... tidak sampai separuh pun jumlahnya.

Kalau pada 1999 Umno diselamatkan oleh sokongan bukan Melayu, kini sokongan Melayu turut kritikal. Setiap minggu penghijrahan ahli-ahli Umno ke dalam Pakatan Rakyat melimpah ruah.
Terbaru kes di Kampung Baru Plentong Tengah, Masai, Johor. Lebih 200 ahli Umno menyertai PAS dengan menyerahkan borang sendiri kepada Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Rakyat sudah merasai "nikmat perbezaan" selepas ratib tahyul "hanya Umno dapat memerintah negara ini" dimusnahkan. Terdedah bagaimana rasuah, salahguna kuasa dan nepotisme menjalar dalam setiap urat nadi dan denyut jantung pemerintahan Umno-BN dahulu.

Dan Pakatan Rakyat seharusnya mampu menawarkan jalan keluar, mengangkat golongan terpinggir, membela masyarakat bawahan, menunaikan amanah dan janji, berkhidmat demi rakyat, selain pemimpinnya terus mengekalkan kesederhanaan.

Saya kerap menekankan agar PAS khususnya, lekas-lekas mengisi posisi Umno, terutama dalam konteks psikologi politik orang Melayu, memperteguhkan akar sokongan, manakala wakil-wakil rakyatnya menyumbang yang terbaik. Misalnya di Selangor dan Perak, tidak boleh dibiarkan Umno menguasai terus kerusi-kerusi di kawasan majoriti Melayu.

Tiada jalan mudah. Berbanding KeADILan sebagai parti berbilang kaum, PAS perlu merobohkan tonggak kekuatan Umno yang selama ini terbina dengan kepalsuan dan ilusi. Pastinya tiada jalan mudah kerana BN masih menguasai sumber Persekutuan tetapi sekiranya rakyat dapat melihat perbezaan jelas antara PAS dan Umno di negeri-negeri Pakatan, masyarakat Melayu semastinya mahukan pemimpin yang jujur dan boleh dipercayai untuk menjaga negara tumpah darah mereka.

Najib boleh saja memasang impian menjadi Presiden Umno, seterusnya Perdana Menteri, menjelang Mac 2009. Najib mungkin ada strategi atau pendekatan ajaib bagi memulihkan imej Umno-BN yang tercemar teruk itu.

Zaman beredar, musim berlalu, jika Pakatan menunjukkan teladan terbaik dan itulah yang nampak serius diusahakan sekarang, lambat atau cepat, Umno-BN hanya menanti ketukan paku terakhir di kerandanya.

GANTUNG SEMINGGU TENDANG CIKGU



Hari Khamis lepas masyarakat Malaysia dikejutkan dengan tayangan secara live dua budak sekolah perempuan menengking, menepis tangan dan menendang perut guru mereka. Lebih mengejutkan, budak sekolah tersebut baru tingkatan dua.Lebih mengejutkan lagi, budak sekolah tersebut adalah betina dan cikgu yang ditendang juga seorang guru perempuan.

Pelbagai pihak memberi pandangan terhadap insiden ini. Bagi saya inilah contoh bahawa tahap disiplin, akhlak dan moral murid sekolah di negara kita yang berada pada tahap yang sangat membimbangkan. Bagi saya, inilah contoh kegagalan sistem pendidikan kita.

Peristiwa ini adalah penerusan kepada rentetan panjang paparan kebejatan disiplin murid sekolah. Ini adalah penerusan kepada seks bebas dalam kalangan murid, mat dan minah rempit, bohsia dan bohjan, pertarungan ala samurai dan pelbagai kebobrokan tingkah laku murid yang pernah dipaparkan oleh media.

Ini adalah buah yang telah masak daripada pokok 'kemanjaan melampau' yang diberikan kepada murid. Atas desakan pelbagai pihak khususnya ibu bapa yang kononnya sayang pada anak, sistem dendaan hampir pupus di sekolah.

Usahkan merotan murid, guru yang cubit telinga murid pun dianggap menyalahi prosedur kerja. Ibu bapa berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap guru ini. Guru ini juga boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana melanggar prosedur perkhidmatan yang dibenarkan. Akhirnya murid-murid sekolah jadi mual. Ibu bapa murid juga jadi manggok.

Guru sekolah berada pada kedudukan yang sangat defensif, tersempit antara keperluan mendidik murid dan kekangan perundangan yang melingkari mereka. Apabila keluar isu-isu seumpama yang berlaku di SMK Perlis minggu lepas, barulah semua pihak melatah itu dan ini. Tuduh menuduh dan kata mengata.

Usahlah tuduh menuduh, kata mengata. Perbetulkan sistem yang pincang. Banyak perkara yang perlu diperbetulkan dalam sistem pendidikan kita. Bukti kerosakan ini adalah apabila Badan Disiplin SMK Perlis yang bersidang pada keesokan harinya hanya menggantung persekolahan pelajar yang menendang guru tersebut selama seminggu. Sekolah pun tidak berani mengambil tindakan lebih dari itu.

Bagi saya, itulah contoh keputusan yang betul-betul tidak sesuai. Pelajar yang cabar, tengking dan tendang guru dalam bilik darjah hanya digantung persekolahan seminggu? Bagi saya pelajar seumpama ini perlu diajar di dalam dan di luar sekolah.

Dalam konteks pendidikan, pelajar ini perlu dibuang sekolah secara mandatori. Barah ini perlu dinyahkan segera daripada sekolah supaya tidak mempengaruhi orang lain. Kalau mereka nak sekolah lagi, hantar sahaja ke Sekolah Tunas Bakti. Di sana mereka boleh asah lagi bakat pergaduhan yang telah mereka ada.

Di luar sekolah, pelajar ini perlu diajar secukup-cukupnya. Pelajar seperti ini perlu diajar tinggi rendahnya langit. Dengan kata lain, budak ini perlu dilempang cukup-cukup di luar sekolah (dalam sekolah salah peraturan).

Kalaulah saya salah seorang guru kat SMK Perlis, budak ni pasti akan mendapat hadiah yang paling menarik atas kecemerlangan yang ditunjukkan. Kalau ayah mak dia campur tangan, lagi baik. Kita juga mesti bagi hadiah atas kejayaan dia mendidik anaknya hingga jadi secemerlang itu di sekolah. "











Saturday, 18 October 2008

DAULAT TUANKU

"Syahadan maka dipukul gendang nobat lagu Ibrahim Khalilullah.
Maka menjunjung duli betara tiga kali, iaitu mengatakan
DAULAT TUANKU".
petikan muka surat 33. buku undang-undang kedah. diselenggara oleh mariyam salim. buku undang-undang kedah merupakan himpunan manuskrip yang dikembalikan oleh kerajaan british kepada malaysia atas permintaan tun dr mahathir sebelum persaraan beliau. ianya membongkar sejarah kerajaan melayu yang sebenarnya.

http://sejarahnagarakedah.blogspot.com/

ISU LOMPAT PARTI: MINGGU PERTAMA SIDANG PARLIMEN BERLALU SEPI



Mereka yang berminat dengan isu pembangkang nak tawan Putrajaya menerusi lompat parti Ahli Parlimen Barisan Nasional mungkin akan dapat ‘ feel ‘ suasana semasa jika berada di Parlimen sepanjang minggu lalu. Pada waktu ada yang merasakan tentunya timbul excitement bila Dewan Rakyat mula bersidang balik pada Isnin 13 Oktober suasananya hingga ke hari Khamis bila sidang ditangguhkan untuk sambung ke minggu depan boleh kata biasa-biasa saja.

Ini mengenangkan kehangatan cerita Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Perdana Menteri supaya adakan sidang tergempar Parlimen kerana pembangkang macam dah tak sempat-sempat nak buat usul tidak percaya terhadap kerajaan atas dakwaan ‘ sudah ada jumlahnya ‘ Ahli Parlimen Barisan Nasional yang nak melompat.

Malah sebilangan pemerhati yang berkunjung ke Parlimen dan para wartawan yang membuat liputan hairan melihat senario relaks dan tak wujud keadaan resah gelisah di kalangan para Ahli Parlimen BN serta tanda-tanda red alert macam kerajaan nak terbalik bila-bila masa saja disambar oleh pembangkang.

Lebih menarik dari tinjauan Agendadaily isu lompat parti ini semacam tidak diambil peduli dan tidak diperbualkan sangat oleh kalangan ahli parlimen baik BN maupun pembangkang. “Hairan juga tengok isu yang sebelum 16 September dulu macam nak meletup dunia punya riuh dah sejuk macam tak ada apa-apa,”kata seorang aktivis politik yang dua tiga kali melawat parlimen untuk melihat suasananya.

Katanya mungkin mereka yang di luar sana menduga macam-macam tetapi suasana di parlimen nyata adalah sebaliknya. Hakikatnya kalau nak tahu isu itu tengah mengelegak atau tidak suasana di Parlimen dimana semua Ahli Parlimen berkumpul dan bersidang adalah penentu suhunya.

Apakah gambar ‘ penghulu’ Parlimen yakni Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz boleh duduk bersembang dan bergelak ketawa dengan Anwar yang juga Ketua Pembangkang sambil kena teh tarik di ruang rehat para Ahli Parlimen petang Khamis ini dapat memberi indikasi kepada senario itu.
Turut sama menyertai mereka ialah ahli Majlis Tertinggi UMNO yang bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik yang datang melawat beberapa rakan di Parlimen petang itu. Lain-lain yang ada di situ ialah Ahli Parlimen PKR Machang Saifuddin Nasution dan Ahli Parlimen PKR Subang N Sivarasah dan Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali.

Friday, 17 October 2008

JOM KE RUMAH USTAZ HADI



pengunjung budiman.........selain dari lim kit siang, lim guan eng, cikgu pa dan ustaz hadi sendiri, siapa lagi yang kita nampak. mata manusia biasa samada berkaca mata atau tidak hanya manusia itu sahajalah yang kita nampak.

cuma disebelah lim kit siang ada nampak tangan manusia lain, firasatnya tentu ada juga manusia lain yang bertandang ke rumah hadi disamping tentunya sijurufoto ini sendiri. ringkasnya selayaknya sepenuh sekadar ruang tamu. mungkin begitu.

pengunjung budiman.........lihatlah dengan mata kasar kita, selain manusia lain tadi, apa yang hadir dipandangan, dilingkungan ruang tamu ini, yang sedia menanti manusia-manusia tadi.

yang menangkap mata kita.....bakul sampah yang tersedia plastik 'recycle' didalamnya. setia menjadi pengawal kepada pintu plastik 'toilet' tentunya. tidak susah mengenal pintu plastik ini, ia hadir dihampir setiap rumah rakyat marhain. kalau dirumah kita bukan pintu 'toilet' jenis ini, tentunya jiran marhain kita kenal. tanyalah mereka.

yang menangkap mata ini, kenapa empunya rumah membiarkan pintu jenis ini hadir kerumahnya, di bulan raya pula, berdiri 'gah' diruang tamu. tentunya menjadi santapan kaca mata dua beranak ini. tentunya juga santapan mata hati mereka juga. mungkin biasa pada cikgu pa.

perabutnya, bukan jenis jati dari negara jiran seberang, apatah lagi dari itali tentunya. juga tentunya bukan perabot 'trend' raya tahun ini. 'towkey' perabot pun tentu dah lupa 'trend' ini menjadi kegilaan tahun bila. cikgu pa pun duduk 'tersenget', mungkin jenis ini 'sangat selesa' bagi menampung berat badannya. tuan rumah sangat selesa nampaknya, mungkin sebab itu masih digunapakai, tentu dengan bangganya.

lagi.......tirai, tikar getah, karpet, penyelak 'toilet'. anggaran harganya tak payah tanya 'towkey' kedai, rakyat marhain pun tentunya tanpa ragu-ragu dapat memberi harga tepatnya.

lagi......apa ye....er. baju empunya semua barangan tadi. rasanya yang sama, mungkin mata ini rabun warna. tapi hari dan bulan antara kedua potret tersebut tentunya berbeza. lihatlah mangkuk kuih muih yang tak sama. mungkin kuih tersebut membuat dua kali persalinan. entahlah.

inilah ruangan tamu rumah salah seorang pimpinan tertinggi parti politik malaysia. tentunya tidak banyak beza dengan rumah kita, apatah lagi dengan rumah pimpinan parti lain dan umno tentunya...........apa kata mata hati kita.


p/s:.........teringat kenangan 10 tahun dulu semasa masih bertugas sebagai pensyarah. berkunjung kerumah anak murid di negeri pahang (telah lupa nama tempatnya). keluarganya menukar sofa baru, menyediakan bilik persalinan, tak kalah macam bilik pengantin baru.